SELAMAT DATANG 2010
Kini 2009 akan berlalu bersama seribu kenangan manis dan pahit. Segalanya tinggal sebagai sebuah sejarah yang akan terus terpahat utuh di hati. Bagi anak-anak didik pula, ingatlah bahawa masa tidak menunggu kita, sebaliknya kita harus tuntas mengejar masa. Banyak ilmu dan pengalaman harus ditimba sebagai persiapan untuk kehidupan yang lebih gemilang di masa hadapan. Cukuplah masa untuk leka bermain, bersantai dan menghadap peti televisyen, mendengar mp3 atau bermain playstation. Bagi pelajar Tahun 6 sesi 2010, waktu untuk anda semua menumpukan seluruh usaha, masa dan tenaga telah bermula sekarang. Lengkapkanlah diri dengan kemahiran-kemahiran yang sepatutnya dan ulangkaji pelajaran yang kurang mahir agar anda lebih bersedia untuk belajar di Tahun 6 nanti.
Bagi semua pelajar Tahun 6 sesi 2009 yang telah menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam UPSR lalu dan berjaya ke SBP atau sekolah-sekolah cemerlang lain, janganlah leka dengan kejayaan yang telah diraih. Sebaliknya kekalkan dan tingkatkanlah usaha agar mengecap kejayaan yang lebih manis di tahun mendatang. Bagi pelajar yang kurang berjaya pula, usahlah bersedih dan hanyut dalam lautan kepiluan kerana ia hanya akan merosakkan diri sendiri sahaja. Sebaliknya, jadikanlah kegagalan ini sebagai langkah permulaan untuk mengorak kejayaan di hari muka. Kejayaan itu pastinya akan menjadi lebih manis sekiranya kita menerima ketentuan Allah swt dengan redha dan hati yang lapang. Ingatlah Firman Allah bahawa 'Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, kecuali kaum itu sendiri yang berusaha untuk mengubahnya'.
Terima kasih juga diucapkan kepada semua guru, staf non-akademik, AJK PIBG, para ibu bapa / penjaga pelajar-pelajar, organisasi dan orang perseorangan yang sentiasa bersama kami dan selalu memberikan kerjasama yang erat dan tidak berbelah-bagi dalam menjayakan semua program sekolah selama ini. Semoga jalinan kerjasama dan keprihatinan tuan puan akan diteruskan dan dipertingkatkan lagi dalam menuju hasrat dan impian untuk meningkatkan pencapaian akademik dan sahsiah anak-anak tuan puan dan mencapai visi dan misi sekolah secara amnya.
Selamat datang 2010.
Salam sayang dari warga SKSS1
0 Ulasan: Klik Di Sini Untuk Komen!:
Post a Comment