BAPA memikul tugas amat berat untuk memelihara kebahagiaan keluarga. Dalam melaksanakan tugas itu, bapa perlukan petua kerana ia memainkan peranan penting dalam mendidik anak. Wasiat Lukman al-Hakim adalah yang perlu sentiasa dipegang kerana petua ini dinukilkan dalam al-Quran. Ia adalah sumber terbaik untuk diambil hikmahnya dalam hal berkaitan pendidikan anak. Al-Quran menghidangkan petua dan wasiat bagaimana Lukman mendidik anaknya dalam satu surah khusus diberi nama surah Lukman, khususnya dalam ayat 13 hingga 19.
Justeru, kita perlu mengenali Lukman supaya kita boleh mencontohi beliau. Bagaimana Lukman mencapai makam yang mulia ini, menurut Imam Ibnu Jarir daripada Amru Ibnu Qais, seorang lelaki pernah menyoal Lukman mengenai perkara itu. Lukman menjawab: “Semua itu adalah kehendak Ilahi. Bagaimanapun, aku sentiasa menunaikan amanah yang dibebankan ke atas diriku. Aku juga sentiasa bercakap benar dan aku menjauhi setiap perkara yang tidak mendatangkan faedah bagiku.” Itulah jawapan Lukman al-Hakim ketika ditanya bagaimana beliau mampu mencapai makam yang tinggi sehingga menjadi contoh di kalangan masyarakat ketika itu, malah sampai ke hari ini.
Ramai di kalangan ibu bapa tidak mengetahui bahawa ‘wasiat’ yang diberikan Lukman al-Hakim kepada anaknya itu adalah teknik khusus untuk golongan bapa dalam mendidik anak. Sekiranya teknik ini diamati lalu dipraktikkan dalam kehidupan seharian, nescaya anak akan lahir sebagai Muslim yang beriman dan bertakwa kepada Allah. Abd Rahman Hassan Al-Maidani berkata menerusi bukunya Fiqh Dakwah, bahawa di sana ada 14 jenis permasalahan yang dapat dipelajari melalui kisah Lukman mendidik anaknya menerusi ‘wasiat’ ini. Pertama, tauhid lawannya syirik. Tidak mensyirikkan Allah.
Disebutkan dalam wasiat ini, bahawa syirik kepada Allah adalah kezaliman yang amat besar. Mengapa? Kerana ia mengandungi syirik terhadap Rububiyatullah (Allah Yang Maha Berkuasa sebagai Pemelihara alam semesta) dan syirik terhadap Uluhiyatullah (Allah sebagai Ilah, satu satunya Tuhan yang disembah, agungkan diutamakan). Syirik sebesar-besar kezaliman. Zalim pula bererti meletakkan sesuatu bukan di tempat sepatutnya. Mengapa syirik dikatakan zalim? Sudah disepakati bahawa Allah yang menciptakan makhluk semesta alam dan Dia juga yang menurunkan nikmat. Adakah layak kita samakan kekuasaan Allah ini dengan sesuatu kuasa yang lain? Jika ada di kalangan manusia yang menyamakan kekuasaan Allah dengan kuasa yang lain, maka dia sudah melakukan kezaliman. Allah saja yang layak disembah dan diagungkan kerana apa yang dilakukan-Nya itu tidak mampu dilakukan kuasa lain. Tetapi, jika kuasa lain yang diagungkan, maka inilah kezaliman.
Inilah yang diperkatakan menerusi ayat 13, surah Lukman yang bermaksud: “Wahai anakku! Janganlah engkau mempersekutukan Allah. Sesungguhnya mempersekutukan Allah itu adalah kezaliman yang amat besar.” Kedua, syukur. Lukman mengajar anaknya supaya bersyukur kepada Allah di atas anugerah nikmat-Nya yang tidak terhitung luas dan banyak. Kesyukuran mengandungi erti balasan perbuatan indah dan baik dengan perbuatan juga baik dan indah. Termasuk di dalam erti kata syukur ini ialah beribadah kepada-Nya dengan melakukan ibadat yang disyariatkan, mendekatkan diri kepada-Nya, menuntut keredaan-Nya dan memuji-Nya serta menghadapkan diri dengan berdoa kepada-Nya yang Maha Esa.
Memuji lebih umum daripada bersyukur kerana hak mutlak kepujian itu diberikan ke atas yang dipuji apabila bersifat dengan sifat yang baik, hatta yang dipuji itu tidak melakukan sesuatu kebaikan terhadap pemuji. Dan peringatan kesyukuran kepada Allah ini dikaitkan dengan pembalasan pada kari kiamat. Sekiranya kesyukuran itu kepada Allah, maka akan mendapat balasan pahala dan jika sebaliknya akan mendapat balasan seksaan di atas kekufuran dan keingkaran. Inilah yang diperkatakan melalui ayat 14, surah Lukman yang bermaksud: “Dan kami wasiatkan (perintahkan) kepada manusia supaya berbuat baik kepada ibu bapanya. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada-Ku tempat kembali.”
Ketiga yang dibangkitkan Lukman al-Hakim dalam wasiatnya ialah mengenang budi ibu bapa. Lukman mendidik anaknya supaya mengenang budi dan berterima kasih di atas susah payah dan jerit perih ibu bapa membesarkan anak dengan penuh kasih sayang dan pengorbanan. Tunaikan hak kedua-duanya terutama kepada ibu kerana ibu bersusah payah bermula dari proses mengandung sehingga melahirkan anak, menyusu sehingga tamat tempoh berakhirnya penyusuan selama dua tahun, membelai dan mendidik siang malam. Ketaatan kepada ibu bapa (walaupun berlainan agama) adalah wajib kecuali apabila disuruh mengerjakan maksiat dan meninggalkan amal ibadat yang disyariatkan Islam.
Lihatlah tingkatan terima kasih (syukur) yang ditonjolkan melalui wasiat ini di mana terima kasih kepada ibu bapa datang selepas syukur kepada Allah. Inilah yang diterangkan melalui ayat 14, surah Lukman bermaksud: “Dan kami wasiatkan (perintahkan) kepada manusia supaya berbuat baik kepada ibu bapanya. Ibunya mengandungnya dengan menderita kelemahan di atas kelemahan dan menceraikan menyusu dalam dua tahun. Bersyukurlah kepadaku dan kepada ibu bapamu! Kepadaku tempat kembali.” Perkara keempat, tidak taat kepada arahan perkara maksiat.
Lukman mendidik anaknya dengan mencegah anaknya daripada mentaati ibu bapa yang mendesak atau mengajak supaya mensyirikkan Allah dan perbuatan maksiat yang dilarang-Nya. Namun, sebagai anak, ibu bapanya harus dilayani, ditemani dan digauli dalam suasana penuh kebahagiaan dan kasih sayang. Anak juga harus melakukan kebaikan kepada mereka berdua seperti menjaga hal ehwal kewangan, menghormati dan berkhidmat kepada mereka. Inilah yang diterangkan melalui ayat 15, surah Lukman bermaksud: “Dan kalau kedua-duanya memaksa engkau supaya menyekutukan Aku, apa yang tiada engkau ketahui, janganlah dituruti; dan pergaulilah keduanya di dunia ini dengan secara patut.”
Kelima, ikutlah jalan orang salih. Lukman menasihati anaknya supaya melalui jalan yang dilalui orang salih iaitu mereka yang kembali bertaut kepada Allah dengan keimanan, ketaatan dan meredah jalan yang lurus. Mereka yang kembali kepada Allah adalah daripada kalangan rasul, nabi, orang benar dan sesiapa saja yang mengikuti mereka dengan keikhlasan dari kalangan orang mukmin. Inilah yang diterangkan ayat 15, surah Lukman bermaksud: “Dan turutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku.”
Keenam, sentiasa ingat hari kiamat dan pembalasan. Lukman berpesan kepada anaknya supaya melakukan ‘pemerhatian’ hari kiamat dan arahan menyuruh dan meninggalkan sesuatu perkara di dalam menongkah arus dunia ini. Inilah yang diterangkan melalui ayat 15 surah Lukman bermaksud: “Nanti kamu akan kembali kepada-Ku dan akan Aku beritakan kepada kamu apa yang kamu kerjakan.” Ketujuh, setiap amal (tersembunyi atau terserlah) akan dihisab oleh Allah Maha Mengetahui. Lukman menerangkan kepada anaknya akan syumul ilmu Allah melewati ilmu manusia. Allah bebas melakukan apa saja tanpa ada halangan, mendatangkan sesuatu yang diinginkan-Nya daripada segenap tempat yang tidak mampu dibuat makhluk.
Sesuatu kebaikan, kejahatan, kezaliman dan kesalahan yang diumpamakan seperti berat biji sawi walaupun tersembunyi jauh dalam batu, di hujung langit atau terbenam sedalam di dasar bumi akan didatangkan Allah pada hari kiamat untuk dihisab dan diberi ganjaran dosa atau pahala. Inilah yang diterangkan melalui ayat 16, surah Lukman bermaksud: “(Kata Lukman): Hai anakku! Sesungguhnya jika ada (amal engkau) seberat biji sawi dan ada (tersembunyi) dalam batu, di langit atau di bumi, itu akan dikemukakan oleh Allah dan Allah itu Halus (mengerti hal yang halus) dan Cukup Tahu.”
Oleh : Endok Sempo Mohd Tahir
0 Ulasan: Klik Di Sini Untuk Komen!:
Post a Comment