Sunday, March 7, 2010
TANJUNG MALIM 6 Mac – Semua pengetua, guru besar dan guru yang berupaya meningkatkan pencapaian sekolah dari semasa ke semasa akan diberi pelbagai insentif termasuk kenaikan pangkat mulai tahun depan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata, pemberian tersebut perlu diberikan secara menyeluruh kerana kejayaan sesebuah sekolah bukan hanya bergantung kepada seorang pengetua atau guru besar tetapi membabitkan kerjasama semua guru.
Beliau berkata, maklumat terperinci berhubung pelaksanaan insentif baru menerusi Pelan Menambah Baik Sekolah-Sekolah itu akan diumumkan pada 16 Mei ini. “Kalau mereka menunjukkan kecemerlangan tak kira di bandar atau luar bandar, ikut ukuran apa yang kita sebut kumpulan-kumpulan tertentu. “Tetapi kalau meningkat sedikit pun (cemerlang) kita akan bagi juga imbuhan kepada guru besar, pengetua dan guru-guru di sekolah itu.
“Maknanya, bukan hanya bagi pengetua atau guru besar tetapi kepada semuanya, kerana kita iktiraf peranan itu bukan hanya dimainkan oleh seorang pemimpin dalam sekolah, sebaliknya semua guru mesti bekerja sama. Kalau (sekolah) meningkat, semua dapat kredit,” katanya. Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Juara Rakyat Peringkat Negeri Perak di Slim River dekat sini hari ini.
Muhyiddin berkata, pemberian insentif tersebut adalah sebagai galakan kepada pihak sekolah tanpa mengira sama ada ia sekolah bandar atau luar bandar untuk bekerjasama dalam mencapai kecemerlangan.
“Kita boleh melihat kalau di sekolah itu ada kepimpinan yang baik, walaupun tidak mendapat peruntukan tetapi mampu meningkatkan pencapaian, maka ia akan diberi penilaian dan akan diiktiraf,” katanya. Sementara itu, beliau berkata, kerajaan akan memberi geran pelancaran kepada pihak swasta yang membuka kelas-kelas prasekolah di negara ini.
Langkah tersebut, katanya, bagi menjayakan matlamat memastikan 87 peratus kanak-kanak yang akan memasuki alam persekolahan dalam tempoh tiga tahun lagi mempunyai pendidikan asas. Selain itu, jelas beliau, kementerian juga akan menampung kos melatih guru-guru yang ditempatkan di prasekolah terbabit.
Terdahulu, dalam pertemuannya dengan warga pendidik di Politeknik Sultan Azlan Shah (Polisas) Behrang, Muhyiddin mahu guru-guru berusaha bersungguh-sungguh ke arah mencapai kecemerlangan pendidikan. Beliau berkata, langkah kementerian memperkenalkan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) adalah sebagai persediaan untuk melonjakkan lagi bidang pendidikan negara ke peringkat yang lebih tinggi.
“Kita minta guru-guru bersama-sama membantu mencapai matlamat Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang disasarkan kerana kita tidak mahu juara kampung tetapi yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa. “Kalau guru-guru bersemangat meningkatkan pencapaian murid-murid dan para pelajar, langkah-langkah ini akan diiktiraf oleh pihak kementerian dan juga layak untuk mendapat imbuhan insentif tahun depan,” katanya. - Source: Utusan Online
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Ulasan: Klik Di Sini Untuk Komen!:
Post a Comment